
SPAOH: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.37 Bukit Saban akan mencadangkan satu resolusi agar Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengekalkan jawatannya tanpa bertanding pada Konvensyen Parti PBB sesi 2024-2027 yang akan diadakan pada tahun depan.
Pengerusinya yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Abang Johari telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang sangat cemerlang dan berwawasan.
Malah katanya, Premier Sarawak juga dihormati di peringkat dunia kerana menyokong kuat industri tenaga dan ekonomi hijau.
“Di peringkat negeri, beliau telah mempamerkan kepintaran dalam meningkatkan hasil negeri tahun demi tahun.
“Ketika bercakap pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung, Premier kita telah mengumumkan kutipan hasil sebanyak RM14.2 bilion untuk 2025.
“Pencapaian ini tidak pernah berlaku sebelum kita merdeka,” kataya pada Mesyuarat Perwakilan Wanita dan Pemuda Cawangan Bukit Saban di sini, baru-baru ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan, kawasan luar bandar termasuk konstituensinya akan terus membangun selagi Abang Johari memimpin negeri ini.
Katanya, ia dibuktikan apabila pemimpin nombor satu negeri itu mengumumkan dana pembangunan berjumlah RM10.9 bilion dengan 62 peratus dari jumlah itu diperuntukkan untuk membangunkan luar bandar.
“Jadi dengan dia masih menerajui Parti PBB dan Sarawak, kita akan berada dalam tangan yang sangat selamat.
“Kami telah diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi dan saya yakin kami akan dapat mengekalkan status ini pada tahun-tahun akan datang,” tambah Uggah lagi.
Sementara itu, Uggah mengekalkan jawatan ketua cawangan itu tanpa bertanding pada mesyuarat peringkat badan induk.
Beliau juga memberi penghormatan khas kepada ketua-ketua cawangan yang rela melepaskan jawatan mereka untuk memberi laluan kepada orang lain.
Mereka termasuk bekas Ketua Wanita Nahairah Spawi yang memberi laluan kepada Natasha Nasa Uggah untuk menggantikannya dan bekas Ketua Pemuda Martin Ngindang yang memberi laluan kepada Mohd Aizat Dollah.