
SRI AMAN: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak semalam di kebunnya dalam kejadian di Sungai Raya, Ibol dekat Undop hari ini.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan berhubung kebakaran berkenaan sekitar jam 7.34 pagi, hari ini.
“Semalam, lebih kurang jam 11 pagi bertempat di Rumah Ringgit Ibol Undop mangsa dikenali, Niang Lasa, 75, telah keluar rumah memberitahu keluarganya beliau mahu pergi ke kebun miliknya di Sungai Raya Ibol.
“Semasa keluar rumah mangsa tidak menggunakan baju dan hanya menggunakan seluar panjang dan membawa parang.
“Mangsa difahamkan menghidapi sejarah sakit jantung,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Rais berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Sri Aman yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohamad Fadhli Buyong bersama lima orang anggota telah bergerak ke lokasi untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Beliau berkata taklimat SAR telah disampaikan oleh ASP Leonard daripada Balai Polis Sri Aman.
“Operasi pencarian dimulakan dan radius awal pencarian adalah dalam lingkungan 5 kilometer (km) persegi.
“Setakat ini, operasi pencarian masih dilakukan dan mangsa masih belum dijumpai,” katanya.
Dalam pada itu, SAR tersebut turut disertai seramai lima anggota bomba, empat anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta 20 orang penduduk kampung.