
SRI AMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang berusia 23 tahun dilaporkan hilang ketika keluar dari Rumah Jinis, Tekalong Melugu Scheme, Rabu lalu tetap diteruskan biarpun masih menemui kegagalan.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata mangsa yang dikenali Jackson Bar Runi, berasal dari Rumah Sekot, Sebangkoi Undop masih belum menemui sebarang petunjuk dan SAR yang memasuki hari kelima hari ini diteruskan dengan memfokuskan mencari kesan jejak mangsa.
“SAR yang telah memasuki hari kelima hari ini masih lagi gagal menemukan sebarang petunjuk penemuan mangsa.
“Pencarian pada hari diteruskan dengan lokasi bertumpu di kawasan sekitar beradius 3 kilometer (km) yang turut memfokuskan sekitar kawasan sungai dan juga darat,” katanya.
Muhammad Rais berkata operasi pencarian pada hari ini dimulakan dengan pembahagian kepada dua kumpulan pencarian dalam radius 2 km.
“Setakat ini, operasi pencarian masih dilakukan dan mangsa masih belum dijumpai,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian Rabu lalu lebih kurang jam 10 pagi bertempat di Rumah Jinis, Tekalong Melugu Scheme, mangsa dilaporkan telah keluar rumah dan tidak memberitahu kepada ahli keluarga kemana beliau pergi.
Difahamkan, mangsa menghidapi penyakit sawan. Pakaian semasa mangsa semasa keluar rumah menggunakan baju T berwarna putih.
Dalam pada itu, SAR pada hari ini turut dihadiri oleh Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw.