
ROBAN: Memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah sangat penting bagi meneruskan cita-cita untuk menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata hal ini dikatakan demikian kerana keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang diperoleh adalah tiket yang akan melayakkan seseorang pelajar untuk memasuki universiti, iaitu sebuah tempat yang menjadi cita-cita kita semua sejak mula melangkah ke alam persekolahan.

“Hanya pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang sahaja akan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti daripada ribuan yang memohon. Di universiti anda akan meneruskan pengajian sama ada di peringkat diploma mahupun ijazah, kemudiannya ke peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang tertentu.
“Bagi pelajar-pelajar yang sangat cemerlang, mereka akan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti ternama di luar negara serta mendapat penajaan pengajian sama ada oleh pihak kerajaan ataupun pihak swasta. Sesetengah dari mereka yang ditaja akan terus ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Pelajar Cemerlang Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalaka, Roban dekat sini, baru-baru ini.
Mohamad Duri menyatakan betapa pentingnya pendidikan pada masa kini, justeru itu kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengatur susun dan merancanakan pelbagai inisiatif bagi kemudahan pendidikan di negeri Sarawak khasnya.
“Dasar pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang akan dilaksanakan pada 2026 bakal memberi banyak manfaat kepada anak Sarawak yang belajar di universiti-universiti milik kerajaan Sarawak.
“Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, pastinya adalah peluang bagi pelajar meningkatkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kita tumpukan kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada anak-anak Sarawak khususnya di daerah DUN Kalaka untuk menimba ilmu di bumi Sarawak sendiri kerana kita telah mempunyai institusi yang bertaraf dunia.