
SARATOK: Sebanyak empat buah projek pembangunan yang berjumlah RM10.72 juta yang diluluskan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan ditender pada bulan depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata antara empat buah projek tersebut iaitu kerja-kerja menaik taraf pintu air di Kampung Kupang, kerja-kerja menaik taraf pintu air di Kampung Perpat Kabong, kerja-kerja menaik taraf pintu air di Kampung Paloh Kabong dan naik taraf jalan pertanian dan kerja-kerja berkaitan di kawasan Sungai Tali Paun seberang pekan Saratok.
“Ini merupakan berita yang sangat gembira buat rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka apabila projek yang dipohon oleh rakyat sebelum ini, akhirnya akan ditender dan seterusnya dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat libat urus projek BDDA bersama agensi pelaksana di Pejabat Daerah Saratok, hari ini.
Mohamad Duri berharap kesemua pelaksanaan projek-projek itu nanti akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar terutamanya golongan pekebun kecil.
“Saya berharap dengan kerjasama semua bersama agensi pelaksana untuk turun padang berterusan untuk memantau pelaksanaan projek terbabit itu nanti,” katanya.
Sementara itu Penghulu Misis Aris ketika ditemui turut menyatakan rasa teruja apabila permohonan penduduk kampung Kupang dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Ia sekaligus memberikan impak yang sangat besar di mana sistem pengairan di Kampung Kupang akan lebih tersusun dan pastinya memberikan manfaat yang sangat baik kepada semua pemilik kebun,” katanya.