
ROBAN: Kakitangan awam di daerah ini termasuk Majlis Daerah Saratok harus sentiasa bersedia dan terus komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pihak berkuasa tempatan itu perlu memainkan peranan utama sebagai penghubung utama kerajaan dan masyarakat secara berterusan.
Katanya, sebagai agensi yang melaksanakan tugas dan sentiasa dekat dengan rakyat, kakitangan Majlis Daerah Saratok juga dituntut sentiasa bersemangat dan ikhlas dalam melaksanakan tugas ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dan aduan rakyat.
“Penjawat awam agensi kerajaan tempatan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah tempat. Kakitangan Majlis Daerah Saratok perlu komited terhadap tugas secara menyeluruh di samping memupuk semangat setiakawan dan saling hormat-menghormati.
“Pertalian yang erat di kalangan kakitangan akan memudahkan pelaksanaan sesuatu tugas,” katanya semasa berucap pada Hari Bersama Pelanggan dan Hari Integriti Majlis Daerah Saratok 2024 di Pentas Utama Festival Makanan Roban dekat sini semalam.
Mohamad Duri berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran berikutan pembangunan pesat daerah Saratok, agensi kerajaan tempatan tersebut tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik serta memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah tempat.
“Malah projek pembangunan rakyat dilaksanakan dengan baik dan berkesan khasnya melibatkan pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya.
Dalam pada itu, ADUN Krian Friday Belik menyeru agar Majlis Daerah Saratok terus meningkatkan usaha untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berintegriti.
Pada Program Hari Bersama Pelanggan dan Hari Integriti Majlis Daerah Saratok tahun 2024 ini, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya adalah senamrobik, taklimat keselamatan kebakaran oleh bomba, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, taklimat kesihatan awam dan lain-lain lagi.