
SARATOK: Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman Saratok telah menjadi sebuah institusi pendidikan yang cemerlang sepanjang 100 tahun kewujudannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata beliau berbangga dengan pencapaian dari segi akademik, kokurikulum, dan sahsiah yang telah dicapai oleh warga sekolah ini.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh pelajar-pelajar SK Abang Abdul Rahman, sama ada di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan, ia menjadi bukti komitmen dan dedikasi guru-guru serta semangat belajar yang tinggi dalam kalangan pelajar.
“Sambutan 100 tahun ini bukan sahaja mencerminkan usia yang panjang, tetapi juga melambangkan keutuhan semangat dan komitmen semua pihak dalam memastikan kejayaan sekolah ini terus terpelihara.

“Tidak boleh dinafikan sama sekali, para gurulah yang merupakan tunjang utama kepada kecemerlangan ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru, termasuk guru-guru yang pernah bertugas di sini, atas jasa dan pengorbanan kalian dalam mencorakkan masa depan anak-anak kita.
“Tidak lupa juga kepada ibu bapa dan komuniti yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada pihak sekolah. Gabungan tenaga dan usaha semua pihak inilah yang menjadikan SK Abang Abdul Rahman terus unggul dan dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian sambutan ke-100 tahun SK Abang Abdul Rahman Saratok yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri; ADUN Krian Friday Belik; ADUN Kabong Dato Mohd Chee Kadir; Pro-Canselor UiTM merangkap Pengerusi LAKIS, Datuk Abdul Wahab Aziz; Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid; Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Awet Gapor dan Guru Besar SK Abang Abdul Rahman Mahrup Engga.
Mohamad Duri berkata sebagai sebuah sekolah yang sudah mencecah usia satu abad, beliau percaya SK Abang Abdul Rahman akan terus menjadi benteng ilmu dan wadah pembangunan modal insan yang berkualiti.
“Saya menyeru agar warga sekolah terus berusaha meningkatkan kecemerlangan dan menjadikan sekolah ini contoh kepada institusi lain.
“Semoga semangat perpaduan, kerjasama, dan dedikasi yang telah terbina ini terus dipertahan dan diperkukuh demi kegemilangan sekolah yang kita cintai ini.
“Saya juga mendoakan agar sekolah ini terus maju dan melahirkan generasi yang berjaya, berilmu, dan berakhlak mulia pada setiap masa,” katanya.