
BETONG: Politeknik Metro Betong Sarawak (PMBS) telah menganjurkan Program Reruai Madani PMBS Gemilang yang telah berlangsung selama tiga hari di perkarangan PMBS dekat sini baru-baru ini.
Program ini bertemakan ‘A Palazzo of Unity’ iaitu bertujuan untuk memperkukuh perpaduan antara komuniti, agensi dan warga PMBS di bawah satu naungan institusi iaitu Politeknik METrO Betong.

Sepanjang tiga hari program ini berlangsung, pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan seperti jualan keusahawanan yang melibatkan penyertaan daripada usahawan daripada daerah Betong dan juga Kelab Usahawan PMBS.
Beberapa program turut dilaksanakan antaranya ialah Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH); ‘School of Commerce and General Study Week’; pertandingan mewarna serta demonstrasi pelancongan yang melibatkan para pelajar sekolah dari Daerah Betong.

Selain itu, terdapat pameran oleh pelbagai institusi luar seperti pameran dan saringan kesihatan daripada Pusat Kesihatan Bahagian Betong, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Aspire Group Malaysia daripada Prudential Assurance Malaysia Berhad.
Turut diadakan juga pelbagai aktiviti sukan yang menyaksikan penglibatan aktif warga PMBS.
Dalam ucapan penutupan, Pengarah PMBS, Ts. Shirley Phillip menyatakan antara objektif utama Program Reruai Madani PMBS Gemilang adalah untuk memperkukuh hubungan antara PMBS dengan komuniti dan agensi setempat.

“Di samping itu, program ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran yang ada untuk meningkatkan nilai tambah dan kemahiran komuniti di sekitar Betong,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh kehadiran dan sumbangan institusi di daerah Betong.