
SIMANGGANG: Seramai 35 orang penduduk daripada tiga buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga telah menerima sumbangan bantuan pendidikan dan perubatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata tiga kampung terbabit iaitu Kampung Maludam, Kampung Hilir Simanggang dan Kampung Hulu Simanggang.

“Seramai 35 orang penerima dari kawasan DUN Lingga telah menerima bantuan pendidikan dan perubatan daripada penerima yang layak.
“Untuk makluman, penyampaian sumbangan ini adalah mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan dan setiap penerima akan dimaklumkan terlebih dahulu mengenai status pemohonan sekiranya permohonan mereka diluluskan, sebelum menyampaikan sumbangan tersebut,” katanya.
Dayang Noorazah berkata walaupun sumbangan yang disampaikan itu tidak seberapa namun ia diyakini akan memberi makna yang besar kepada golongan tersebut kerana ia mampu meringankan sedikit beban kepada penerima.
“Program bantuan ini kita akan perluaskan ke semua kawasan DUN Lingga melibatkan kampung-kampung dan rumah panjang dan diharapkan sumbangan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban golongan sasar.
“Saya yakin dengan usaha yang telah dilakukan ini, sudah pasti kebajikan golongan yang memerlukan bantuan akan terus dijaga,” katanya.
Beliau menambah, sumbangan yang disumbangkan secara ikhlas tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang politik, kerana ini merupakan tanggungjawab sosial bersama bagi membantu golongan memerlukan.