
SARATOK: Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri Sarawak pada tahun 2017, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah berani menerokai dan melaksana pelbagai inisiatif sektor ekonomi baru untuk menambah pendapatan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata polisi ekonomi Sarawak di bawah pentadbiran Abang Jo sejak dari awal kepimpinan beliau telah distruktur dan dilaksana dengan konsisten dengan memfokuskan tiga objektif utama.
Antaranya ialah menambahkan pendapatan Sarawak; mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur kemudahan awam terutama di luar bandar dan menaik taraf kualiti hidup, sosioekonomi dan kebajikan masyarakat yang berpendapatan rendah.
“Hasilnya terbukti dengan pertambahan belanjawan lebihan Sarawak setiap tahun di mana lebih kurang 70 peratus adalah untuk pembelanjaan pembangunan. Setiap tahun 60 peratus dari peruntukan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak akan disalur ke arah kawasan luar bandar.
“Kecergasan dan kecekapan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan banyak agenda pembangunan dan ekonomi adalah dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu, ketenangan dan kesepakatan politik, formula ekonomi yang realistik dan berkesan dan kebijaksanaan kepimpinan kerajaan dalam melakar dan menggerak pelan
hala tuju Sarawak yang membina dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan siri jelajah taklimat dan penerangan berkenaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 kerajaan Sarawak di Dewan Masyarakat Sri Krian, baru-baru ini.
Mohamad Duri berkata keadaan politik yang stabil dan suasana kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang aman, menjadi antara ramuan utama yang membolehkan pemimpin kita memberikan tumpuan penuh kepada program pembangunan negeri
“Ia membolehkan Sarawak mencapai visinya untuk menjadi sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Justeru itu adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk mempertahankan keamanan, kestabilan politik dan keselamatan negeri kita Sarawak bagi membolehkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi fokus kepada usaha untuk membangunkan Sarawak selaras dengan PCDS 2030.
“Kalau kita rujuk balik kepada pelan PCDS 2030, tiga dimensi yang penting iaitu keterampilan sosial, kelesterian alam sekitar
dan kemakmuran ekonomi. Pelaksanaan pembangunan bertunjang kepada tiga dimensi ini adalah menjurus kepada usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan,” katanya.
Mohamad Duri dalam pada itu menambah, Belanjawan Sarawak tahun 2025 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak baru-baru ini adalah belanjawan yang terbesar dalam sejarah sarawak dimana peruntukan keseluruhannya adalah sebanyak RM15.8 bilion.
“Dengan belanjawan yang sebesar itu, maka usaha kerajaan untuk membina masa depan sejahtera yang inklusif dapat di realisasikan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, seramai 450 pemimpin akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka telah berkampung di Dewan Masyarakat Sri Krian bagi mengikuti siri jelajah taklimat dan penerangan berkenaan PCDS 2030 kerajaan Sarawak.
Majlis taklimat itu diadakan sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik anjuran Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Saratok dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Kalaka itu telah dihadiri Ketua Penyelaras Program Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier, Abdul Samat Gany dan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.