
KAPIT: Masyarakat berbilang kaum di negeri ini harus menerapkan semangat ‘Segulai Sejalai’ yang utuh jika mahu mengecapi kemajuan dan kemakmuran berterusan, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, kemajuan dan kemakmuran yang rakyat kecapi selama ini adalah atas semangat ‘Segulai Sejalai’ yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu.
Dengan semangat ‘Segulai Sejalai’, Sarawak diyakini dapat menempuhi cabaran baharu dengan jayanya, katanya dalam ucaptamanya pada Seminar Keamanan Antarabangsa bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 majlis pendamaian di sini.
Beliau berkata, berdasarkan sejarah, Sarawak ketika dahulu sukar untuk mencapai kemajuan disebabkan masyarakatnya saling bertelagah antara satu sama lain.
“100 tahun yang lalu, nenek moyang kita kerap kali berhadapan dengan pertelagahan antara kaum dan kumpulan ajaran sesat.
“Disebabkan pertelagahan yang tidak berkesudahan telah mewujudkan suasana tidak tenteram dan ketakutan dalam kalangan penduduk.
“Apabila James Brooke mula memerintah Sarawak pada 1841, suasana tidak tenteram dan pertelagahan itu masih berleluasa.
“Malah, Pentadbiran Brooke sendiri berhadapan dengan tentangan hebat daripada pemimpin tempatan yang berjuang untuk memelihara adat resam dan hak mereka.
“Justeru, James Brooke menggunakan kekerasan untuk mententeramkan keadaan, menangani dan memerangi pemberontakan,” katanya.
Beliau berkata, antaranya ialah Ekspedisi Katibas (1868, 1870, 1872, 1976), Ulu Ai (Oktober dan Disember 1975, 1902), Delok (1868), Great Kayan (1863), Gat (1915, 1919), Sadok (1857, 1858, 1861) dan Perang Betong Maru (1849).
Yang lain Ekspedisi Bukit Batu (Februari dan September 1881), Yong (1894), Bantin (1898), Trusan (1900) dan Lawai di Ulu Limbang (1905).
Uggah menegaskan, sungguhpun pentadbiran Brooke tetap berperang, namum mereka juga berusaha menamatkan peperangan dengan menganjurkan majlis pendamaian.
Majlis pendamaian itu termasuk di Lubok Antu (1888), Baram (1899), Kapit (1907, 1924) dan Simanggang (1920, 1924), katanya.
Pada majlis pencapaian pendamaian itu, beliau berkata, pemimpin yang bertelagah bertukar-tukar timbakar berharga dan mengorbankan kinzir (Bebanchak) di hadapan Rajah Brooke sebagai tanda mengekalkan keamanan.
Majlis mencapai pendamaian paling bermakna itu diadakan 100 tahun lalu di sini iaitu pada 16 November 1924, katanya dan menambah, Kapit juga adalah tempat kelahiran salah seorang pengasas Malaysia, Tun Jugah anak Barieng.
Majlis mencapai pendamaian itu adalah permulaan baharu bagi rakyat Sarawak untuk menerapkan semangat ‘Segulai Sejalai’.
Majlis mencapai pendamaian itu membabitkan kumpulan etnik Iban, Kayan, Kenyah dan Kajang dari Sarawak dan Kalimantan.
Uggah menyifatkan majlis mencapai pendamaian itu sebagai sejarah bagi Sarawak kerana berjaya mengumpulkan pemimpin dan pejuang dalam kalangan etnik berkenaan untuk menamatkan perbalahan.